“ Tiada lagi hijrah sesudah pembukaan kota Makkah, tetapi yang tetap ada ialah jihad dan niat untuk berhijrah (apabila keadaan memaksa) dan apabila dipanggil untuk berjihad (atau sebagainya) hendaklah kamu bersiap sedia. ” – (Hadis Riwayat Bukhari)
Apakah makna hijrah?
Makna Hijrah.
Penghijrahan komuniti Muslim pada zaman Rasulullah SAW berlaku sebanyak tiga kali. Pertama, hijrah ke Habsyah pada 615 masihi, kedua juga ke Habsyah pada 617 Masihi dan ketiga ialah hijrah Rasul SAW ke Yathrib pada 622 masihi.
• Secara bahasa, hijrah bererti berpindah tempat . Sedangkan secara syarak, para fukaha mendefinisikan hijrah sebagai keluar dari darul kufur ke Darul Islam.
Darul Islam dalam definisi ini adalah suatu negara yang menerapkan syariat Islam secara total dalam segala aspek kehidupan dan yang keamanannya berada di tangan kaum Muslim.
Sebaliknya darul kufur adalah negara yang tidak menerapkan syariat Islam atau keamanannya bukan di tangan kaum Muslim, sekalipun majoriti penduduknya beragama Islam.
Apakah penghayatan yang dapat dilihat dalam hijrah rasulallah ???
Penghayatan dalam peristiwa hijrah rasulallah
• Kehidupan sosial yang saling membantu untuk keamanan.
Ia membabitkan semua peringkat masyarakat yang terdiri daripada belia yang diwakili oleh Saidina Ali, golongan dewasa yang diwakili oleh Abu Bakar As Siddiq, golongan korporat yang diwakili oleh Abdul Rahman Auf, golongan wanita yang diwakili oleh Asma’ Abu Bakar. Pembabitan kalangan bukan Islam sebagai penunjuk jalan yang diwakili oleh Abdullah Uraiqit juga membantu dalam menjayakan misi penghijrahan ini.
• perancangan strategik dengan melihat ruang dan peluang di tempat baru.
Apabila rasulallah berhijrah ke yatrib, baginda telah dilantik menjadi pemerintah disana. Baginda telah merangka piagam madinah. Hal ini telah menguntungkan agama islam itu sendiri.
• Membentuk nilai kasabaran, ketabahan, ketaatan dan sebagainya.
• Bagaimanakah kita mengaplikasikan nilai hijrah dalam pembentukan jiwa, mental dan fizikal ???
Hijrah dalam Pembangunan Jiwa
Pembangunan jiwa merupakan suatu proses yang bertujuan untuk melahirkan jiwa yang bertakwa. Ianya merupakan unsur yang perlu difahami dan dititikberatkan oleh semua umat. Ketiadaan jiwa yang bertakwa akan mengakibatkan fungsi akal dan fizikal menjadi lumpuh. Manusia secara umumnya akan menggunakan kecerdasan akal dan juga kekuatan yang ada pada tubuh badannya untuk membina tamadun material. Justeru pembangunan jiwa ini seharusnya diaplikasikan dengan sebaik mungkin untuk memastikan tamadun material yang akan terbina kelak tidak akan sia-sia.
• jiwa insan perlulah diisi dengan perasaan cintakan Allah dan Rasul serta cinta kepada kehidupan akhirat.
Ini seterusnya akan dapat menyedarkan manusia tentang matlamat hidupnya di atas muka bumi ini. Dan di sini seluruh manusia perlu memikul dua tanggungjawab utama iaitu selaku hamba Allah dan selaku khalifah Allah.
Hijrah dalam Pembangunan Mental
Modal insan juga mestilah menitikberatkan pembangunan mental (akal).
• Akal manusia mestilah diisi dengan pelbagai jenis ilmu yang dianjurkan oleh Islam untuk mempelajarinya.
Antara ilmu yang perlu dititikberatkan ialah ilmu berkenaan dengan Fardhu Ain seperti ilmu Tauhid, Feqah dan juga Tasawwuf serta ilmu-ilmu pengetahuan yang lain seperti ilmu Sains dan Geografi. Melalui ilmu tersebut, para pelajar tidak akan sahaja mengenali hakikat sesuatu kejadian berdasarkan kepada sifat tabiinya sahaja, bahkan mereka akan cuba berfikir bahawa di sebalik segala kejadian tersebut, ada Penciptanya iaitu Allah s.w.t. Kesan sampingan yang akan timbul ialah mereka akan berasa takjub atas kekuasaan Allah ini dan seterusnya akan mendorong jiwa mereka untuk tunduk patuh kepada perintah-Nya.
• Selain daripada pengisian ilmu yang bermanfaat, akal juga haruslah dibangunkan dan dibentuk melalui perbincangan, penyelidikan dan juga pembacaan. Aktiviti-aktiviti lain seperti mengembara dan melancong juga akan dapat menajamkan akal.
Sewaktu mengembara, kita tentunya akan memperolehi banyak pengalaman, pengajaran dan hikmah kejadian alam sejagat. Bermusyawarah dan berbincang juga secara tidak langsung akan dapat menghasilkan kefahaman yang lebih mendalam kepada akal kita. Di samping itu, Islam juga menganjurkan kita supaya menjaga adab-adab bermusyawarah supaya manfaatnya akan terhasil semaksima mungkin. Hasil perbincangan dan penyelidikan tentang sesuatu perkara seperti muzakarah tentang hukum, sudah tentu dapat dimanfaatkan oleh sekalian muslimin.
Hijrah dalam Pembangunan Fizikal
Sekiranya jiwa dan akal sahaja dibangunkan, tetapi fizikal lemah, maka tamadun Islam dan peribadi muslim juga akan terhalang pembinaannya. Kalau diamati, apakah faedah yang dapat diperolehi daripada seorang manusia yang lemah tubuh badannya?
• Oleh itu, kita perlu memiliki fizikal yang sihat untuk membina tamadun Islam selaras dengan kehendak Allah s.w.t yang mahukan hamba-Nya menjadi khalifah di muka bumi ini.
Untuk meningkatkan taraf kesihatan diri, kandungan makanan yang diambil perlulah seimbang iaitu memenuhi segala keperluan seperti protein, karbohidrat, garam galian, vitamin dan sebagainya. Makanan yang akan diambil juga mestilah berpunca daripada sumber yang halal dan cara penyediaannya juga mestilah mengikut kehendak syarak.
Setelah memenuhi kesemua aspek yang telah diterangkan tadi, maka kita akan dapat merasakan berlakunya suatu perubahan yang amat ketara di dalam jiwa dan minda kita. Dan di sini sudah tentunya proses pembinaan insan sudah mula tercapai dengan sebaik yang mungkin.
Terangkan perkara-perkara yang perlu dititik beratkan dalam proses penghijrahan masa kini dan kesan-kesan perubahan dalam penghayatan hijrah tersebut?
Aspek- aspek penting dalam proses penghijrahan pada masa kini
1. HIJRAH IMAN
Usaha untuk mempertingkatkan iman mestilah melalui peringkat pembersihan hati dan jiwa dari sifat mazmumah yang tercela lagi keji kepada melazimkan dengan sifat mahmudah yang terpuji lagi disukai. Dengan cara ini hati akan dipancari cahaya yang akan melihat kebesaran dan keagungan Allah s.w.t.
peningkatan iman juga perlu melalui banyak berfikir mengenai kejadian alam semesta, kejadian makhluk ciptaan Allah dan juga sentiasa mengingati tentang alam akhirat yang kekal abadi.
2. HIJRAH ILMU
Penghijrahan dalam sudut ilmu juga haruslah dititik beratkan daripada jahil kepada berilmu. cabaran dari sudut ilmu merupakan perkara penting yang banyak dibahaskan dan menjadi persaingan yang hebat di kalangan masyarakat, khususnya masyarakat terpelajar dan profesional. Sesungguhnya ilmu itu cahaya, jahil itu berbahaya. Ungkapan ini mempunyai maksud yang dalam. Kejahilan yang menyelingkar kehidupan manusia hari ini sukar untuk diungkap dengan kata-kata lagi.
3. HIJRAH AMAL
Terdapat dalam mafhum hadis Nabi s.a.w yang menyatakan : " Sebaik-baik amal adalah berkekalan biarpun sedikit". Harus difahami, bahawa ungkapan ini tidaklah dimaksudkan oleh Baginda supaya mengurangkan amalan. Ianya membawa pengertian perbandingan iaitu amalan sedikit tetapi konsisten lebih baik berbanding dengan membuat amalan yang banyak tetapi tidak konsisten, bahkan yang lebih baik adalah membuat banyak amalan berserta konsisten.
Kesan Perubahan dalam penghayatan hijrah
Setelah proses pembinaan insan sudah meresap di dalam diri dan minda kita, maka sudah tentulah mudah untuk kita mencurahkan segala sumbangan yang bermanfaat sama ada untuk kebaikan agama, masyarakat dan juga negara.
• Dari segi agama kesan perubahan kepada penghayatan Islam yang sebenar, sudah tentu dapat mengelakkan sebarang perselisihan ataupun kekeliruan berkenaan perkara-perkara asas dalam agama Islam itu sendiri. Malahan jauh sekali untuk kita mengenepikan golongan ulama yang merupakan pewaris para nabi di dalam hal-hal yang berkaitan dengan ajaran Islam.
• Sumbangan kepada negara juga dapat dicapai dengan menjauhkan sentimen perkauman ataupun perasaan anti pembangunan. Umat yang terbaik ialah umat yang berfikiran secara optimis dengan melihat bahawa setiap pembangunan yang dilaksanakan ada kebaikannya.
Namun, pembangunan material dan pembangunan insan mesti dipastikan berjalan seiringan di antara kedua-duanya. Ini penting supaya negara yang wujud kelak berkeadaan aman dan makmur serta terhindar dari segala unsur-unsur yang boleh memusnahkan pembangunan ummah dan negara itu sendiri. Apabila sesebuah masyarakat itu kukuh, maka akan lahir pula tokoh-tokoh yang berwibawa yang menjadi pemimpin bagi setiap kelompok masyarakat.
Kesimpulan
Kesimpulannya, tuntutan penghayatan hijrah dalam erti kata perubahan diri dari segi jiwa, mental dan fizikal kini semakin mendesak. Ini memandangkan kepada suasana sosial yang semakin parah dewasa ini. Umat Islam kini tidak ada pilihan lain selain daripada merealisasikan tuntutan hijrah dalam pengertiannya yang sesuai bagi menjamin kejayaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Pelbagai cara dan pendekatan telah diambil oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk memantapkan lagi proses pembinaan insan yang berkualiti dan bertakwa. Namun, apa yang pentingnya ialah inisiatif dalam diri kita untuk mengaplikasikan konsep hijrah itu sendiri. Dan perlu juga diingatkan bahawa segala usaha yang dibuat bagi pembinaan insan yang kamil dari segi jiwa, mental dan fizikal hendaklah berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan